Waktu Urusniaga:
Ahad – Khamis : 11.00 pg – 7.00 ptg
Jumaat – Sabtu : 8.00 pg – 4.00 ptg
ISNIN TUTUP

Iras Prestige Bridal,
173,Tingkat 1, Kompleks Sultan Abdul Hamid Fasa 2,
Persiaran Sultan Abdul Hamid (Jalan Pegawai),
05050 Alor Setar,
Kedah Darul Aman.

Untuk pertanyaan dan tempahan boleh hubungi :
Butik 0135084006
Pn Ira 0194164006 @ 0193685306

Sunday, March 21, 2010

Putih Warna Keramat Raja Sehari

Utusan Malaysia 20 Jan 2010

PUTIH selalu dianggap sebagai warna yang melambangkan kesucian. Tidak hairanlah ramai pengantin yang memilih busana pengantin berwarna putih bagi dipakai pada hari bersejarah mereka.

Busana putih yang lazimnya dipilih untuk dikenakan pada saat acara paling penting dan bermakna iaitu akad nikah, seolah mewakili kesucian hati pengantin seiring akad yang diucapkan di hadapan hadirin.

Jika tidak pun putih keseluruhan, masih ramai yang memilih nuansa putih seperti warna krim, kuning cair, putih susu atau warna gading. Pokoknya, asalkan pada pandangan mata kasar, warna busana untuk hari yang akan kekal dalam sejarah itu adalah putih. Kalau ada pun hanya segelintir sahaja yang memilih warna-warna lain untuk hari pernikahan mereka.

Sehingga sekarang putih tetap pilihan utama di kalangan wanita sebagai pilihan warna untuk baju pengantin. Putih menjadi warna istimewa para pengantin wanita untuk tampil berbeza dan anggun di hari pernikahan.

Ia seolah-olah pernyataan bahawa warna putih adalah khas untuk pengantin sahaja dan tetamu pun tidak akan memakai baju berwarna sama.

Pada acara memotong kek perkahwinan atau pulut kuning bertingkat, sekali lagi pengantin perempuan memilih untuk memakai gaun pengantin putih.

Sesungguhnya gaun pengantin putih benar-benar menyerlahkan keanggunan pengantin kala berjalan di atas permaidani merah bersama pasangan menuju ke pentas untuk acara tersebut.

Sebenarnya bukanlah menjadi tradisi masyarakat Melayu di mana pengantin perempuan memakai gaun pengantin untuk acara memotong kek perkahwinan. Pada majlis perkahwinan dahulu, tidak ada pun acara memotong kek perkahwinan atau pengantin memakai gaun pengantin putih.

Acara ini sebetulnya ditiru daripada acara memotong kek perkahwinan oleh pasangan pengantin Inggeris. Mungkin untuk sekadar suka-suka sahaja sebelum berakhirnya majlis pada hari tersebut.

Catatan sejarah budaya menemukan bahawa sejak abad ke 14 di Eropah dan negara-negara Arab, gaun pengantin biasanya berwarna biru muda. Warna putih menjadi simbol kehormatan Perawan Maria bagi masyarakat Eropah dan lambang kesucian bagi masyarakat Arab.

Minat wanita kepada gaun pengantin berwarna putih bermula sejak abad ke 19. Gaun pengantin putih dipakai di hari perkahwinan Puteri Victoria dengan putera mahkota Jerman, Putera Frederick William dari Prusia pada tahun 1858.

Pada majlis perkahwinannya itu, Puteri Victoria mengenakan gaun putih yang mewah dan cantik yang menjadi impian setiap wanita untuk memakainya. Selepas itulah, semua pengantin perempuan memakai gaun berwarna putih pada hari perkahwinan.

Sekarang, mengenakan gaun pengantin putih bagi pengantin bukan hanya untuk pengantin yang tidak memakai tudung sahaja. Pengantin yang memakai tudung juga masih berpeluang memakai gaun pengantin putih.

Banyak butik pengantin pada masa kini yang menyediakan gaun pengantin putih lengkap dengan kerudung khusus bagi pengantin yang memakai tudung.

Gaun pengantin putih ini lebih sopan, berlengan panjang, tidak terdedah di bahagian dada dan dibuat daripada fabrik yang tidak jarang.

Bagi menambah keindahan gaun pengantin putih ini, kuntum-kuntum bunga daripada fabrik renda Perancis dijahit pada bahagian bawah gaun bersama manik putih atau mutiara tiruan.

Kerudung atau tudung yang cantik daripada kain renda Perancis dihiasi dengan manik dan kristal swarovski mengindahkan penampilan pengantin bertudung yang mengenakan gaun pengantin putih.

Rekaan gaun pengantin putih juga adalah pelbagai. Ada yang kembang seperti gaun yang dipakai di dewan tarian, mengikut ukuran badan atau yang berukuran A-line.

Dalam memilih gaun pengantin putih ini, pengantin juga harus pandai menyesuaikan dengan bentuk badan mereka. Bagi pengantin yang mempunyai tubuh gempal, jangan memilih gaun yang kembang kerana ini akan membuatkan anda nampak semakin berisi.

Paling sesuai, pilih gaun yang rekaannya lurus atau A-line yang menampakkan anda sedikit langsing. Sementara yang bertubuh langsing boleh memilih gaun kembang kerana dapat menyembunyikan tubuh yang tidak berisi.

No comments:

Post a Comment